Wednesday 30 April 2014

WAL- 'ASR: MEMERAH SEBUAH USIA

Assalam, tulisan ini adalah dari belog Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. BarakAllah ustaz. Moga setiap tulisan ustaz dikira Allah sebagai pahala. Dan moga hati-hati yang membaca tulisan ustaz dapat hidup. BiidzniLlah.

demimasa
Demi Masa!
Demikianlah Allah bersumpah dengan masa. Kita sama-sama maklum bahawa, apabila Allah bersumpah dengan sesuatu di dalam firman-Nya, subjek itu amat penting dan menuntut kita untuk bertadabbur dengan lebih teliti mengenainya.
Di dalam bahasa Arab, ada beberapa perkataan lain yang maksudnya adalah berkaitan dengan masa. Ada Waqt (وقت), Zamān (زمان), Sā’ah (ساعة) dan Dahr (دهر). Tetapi Allah memilih kalimah ‘Asr (عصر) dengan hikmah yang besar.
Perkataan ‘Asr ini secara bahasanya, ia memberi maksud “memerah sehingga keluar susu” [Mu'jam Maqayis al-Lughah by Ibn Faris]. Bersandarkan kata akar yang sama, Allah SWT menyifatkan awan sebagai sesuatu yang mengandungi air, diperah hingga mengeluarkan hujan.
78_14
Dan Kami telah menurunkan dari awan (al-mu’sirāt), air (hujan) yang mencurah-curah [Al-Naba' 78: 14]
wring
Apabila Allah bersumpah dengan al-’Asr yakni masa, ia bukan sebarang masa. Ia adalah masa yang digambarkan sebagai sesuatu yang berisi intipati yang berguna, penuh khasiat. Namun untuk memperolehinya, masa itu mesti diperah, seperti kelapa parut yang diperah untuk mengeluarkan santannya, atau kelapa sawit yang perlu diperah untuk mengeluarkan minyaknya. Demikian juga zaitun, sekadar buah yang enak dimakan, tetapi menjanjikan minyak penuh khasiat, andai kita patuh kepada proses utamanya iaitu ia mesti diperah, dengan betul, sepenuh usaha, hingga tidak tersisa.
Allah mengesahkan bahawa setiap manusia kerugian.
Rugi, seperti buah kelapa yang tua, kering, bergelimpangan di tanah dan kemudian menjadi tanah.
Seperti buah zaitun yang begitu banyak khasiatnya, tetapi terbiar gugur di tanah, kembali ke tanah, reput dan sebati hingga hilang dari kewujudannya.
Betapa sia-sianya manusia yang mati tanpa diperah potensinya.
Betapa rugi, dengan serugi-ruginya manusia yang lahir dengan fitrah penuh potensi, namun dek kecuaiannya tidak memanfaatkan peluang masa yang diberi, dia hanya singgah di kehidupan ini bagai melukut di tepi gantang, kemudian mati, bagai bangkai, kembali ke tanah, tanpa sumbangan, dan jasa.
Sesungguhnya setiap manusia yang memahami erti AL-’ASR (masa), akan membina kehidupannya atas empat tiang yang tidak mengenal kompromi.
1. Beriman, dan mempertahankan keimanannya dalam apa jua keadaan.
2. Beramal soleh, berterusan, beramal, beramal, dan beramal.
3. Berpesan-pesan pula kepada setiap insan yang melintasi dan dilintasi dalam kehidupan ini, dengan kebenaran.
4. Berpesan-pesan dengan kesabaran, selagi hayat dikandung badan.
Duhai sahabat, sudahkah kalian memerah diri untuk mendapatkan hasilnya? Berusahalah agar pada hari matinya kita, yang dikebumikan itu benar-benar hampas yang sudah diperah manfaatnya habis-habisan. Dan dengan kasih sayang Allah, tubuh badan yang tidak bernyawa itu pun, masih punya manfaat andai kita menekuni kaedahnya.
Jangan sia-siakan masa.
Jangan sampai sudah mati, baru meminta dihidupkan semula.
32_12
“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin” [Al-Sajdah 32: 12]
Andai ada peluh yang melimpah, andai ada air mata yang tumpah, andai ada darah yang membasah, terimalah ia sebagai sebahagian daripada kehendak WAL-’ASR.
Demi memerah masa…
Demi memerah sebuah usia…
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Rujukan: Al-Khittah al-Barraqah li Dzi al-Nafs al-Tawwaqah oleh Dr. Solah al-Khalidi

No comments:

Post a Comment