Thursday 27 March 2014

MOGA AKH BERGEMBIRA BERTEMU TUHAN

Assalam buat sahabat bloggers sekalian. Curetan hari ini dimulakan dengan sepotong ayat dari Kalam Allah.



Ya. Setiap yang mempunyai nyawa, tidak kira manusia, haiwan, tumbuhan malah makhluk yang mungkin tidak tercapai dek akal malah pancaindera akan merasai MATI. Mati. Death. 

"Mati merupakan penghapus kepada kelazatan dunia."

Ianya sesuata yang paling dekat dengan kita. Kita mungkin mempunyai follower yang ramai di MukaBuku, Tweeter, Insta atau mana-mana medium sosial yang lain, tapi ada dua perkara yang sering mengikuti kita tiap-tiap hari iaitu maut dan pencabutnya.

Ketika sedang berMukaBuku, dia sedang memerhati.
Ketika sedang makan, dia sedang memerhati. 
Ketika kita bekerja, dia sedang memerhati.
Ketika sedang tidur, dia sedang memerhati.
Menunggu perintah dari Rabb untuk menarik nikmat hidup dari kita.
Dan apabila sudah sampai masanya, tidak dipercepat dan dilambat hatta sesaat.

Kelmaren, 26 Mac 2014, satu berita yang sangat mengejutkan seluruh warga SHAMS di mana mantan kapten 2009/10 iaitu Muhammad Syafaat bin Salim telah kembali ke rahmatuLlah. Beliau merupakan seorang senior untukku dan para sahabat. Mohon dihadiahkan al-Fatihah untuk beliau.

Rasanya berita ini memberikan tamparan hebat kepada sahabat-sahabat arwah yang terdekat atau sesiapa sahaja yang pernah mengenali dan bekerja dengannya. Arwah akh Syafaat merupakan seorang hafiz al-Quran. Ya. Peribadinya yang luhur, sopan-santun, baik, berjuang untuk agama, komited dalam kerja, tegas, berdisiplin, sangat rajin membantu diperakui oleh sahabat-sahabatnya malah guru-gurunya.

Alhamdulillah, aku dan beberapa sahabat yang lain sempat mengikuti acara pengebumian arwah di Marang kelmaren. SubhanAllah, arwah akh semestinya seseorang yang pernah menyentuh ramai hati dari kalangan mad'unya. Ramai sahabat handai yang datang memberi penghormatan terakhir buat arwah akh.

...................................................................................................................................................................
Memetik kata-kata dari sahabat arwah yang saya kira paling rapat, Mohamad Kamal dari fbnya. 

"pergilah kamu wahai sahabat yang aku sangat segani, sungguh aku berat untuk menerima berita ini, akhlakmu sangat aku sanjungi, peribadimu sempurna seorang mukmin, suara merdumu terngiang-ngiang di cuping ini. ya, kamulah murabbiku. kamu sempurna luar dan dalam pada pandanganku. andai ditakdirkan Allah 529 orang penyokong Morsi dijatuhkan hukuman kerana berjuang mempertahankan islam, kamulah orang yang ke 530..ya sahabat, kamulah orang ke 530 itu. semoga Allah tempatkan kamu bersama mereka.

-Hilangnya Sebutir Permata Yang Terlalu Terang Sinarannya, Allah Lebih Menyayangimu-

Al-Fatihah Allahyarham Muhammad Syafaat Bin Salim

Allahyarham merupakan kapten asrama SHAMS 2009/2010 dan seorang yang sangat komited dengan perjuangan islam."
...................................................................................................................................................................

"andai ditanya syafaat ni mana satu orangnya?

aku sendiri tak tahu nak jawab apa, hampir 8 tahun mengenali Allahyarham tapi masih tak reti bagaimana hendak disurahkan sosok hebat ini. pribadinya terlalu luar biasa, umpama jelmaan malaikat di dunia. sungguh kalau hendak diceritakan aku takut ceritaku terlalu biasa sedangkan beliau manusia yang terlalu luar biasa. cukuplah aku gambarkan Allahyarham sebagai sebutir permata yang tersangat terang kilauannya. satu aset yang paling bernilai untuk agama. tapi Allah rehatkan kamu dahulu sahabat sebelum kilauanmu benar-benar bersinar.

#Alfatihah Al-Mujahid Mohd Syafaat bin Salim"
...................................................................................................................................................................

[Damailah Buat Sang Mujahid]

"Ya Allah, aku tidak tahu bagaimana untuk menyimpan kesedihan ini, tidak sampai lagi sebulan kehilangan anak saudara tercinta, insiden MH370, 529 mujahidin mesir bakal berdepan dengan tali gantung, semalam mendapat satu lagi pengkhabaran perginya seorang sahabat menghadap ilahi selamanya, 8 tahun mengenali beliau, 5 tahun tinggal dibawah satu bumbung asrama, dua tahun di dalam kelas yang sama. semua orang tidak akan membantah sekiranya saya katakan Allahyarham seorang yang sangat soleh, berpewatakan merendah diri, pemalu, dan cerdik.

Al-Quran itu sahabat beliau, semasa di sekolah dulu, rutin kami untuk membuka Al-Quran selepas subuh, selepas asar dan sebelum maghrib, alunan suaru merdu beliau sering kedengaran di bucu surau "port feveret beliau". di kampus beliau merupakan seorang Hafizul Quran, sangat menjaga solat fardhunya, akan diusaha sebolehnya untuk ditunaikan secara berjemaah, kedudukan surau hanya disebelah rumah Allahyarham, seringkali beliau menjadi bilal dan imam di surau itu. Beliau seorang yang tidak sedikit solat malamnya, dianugerahkan dengan suara yang lunak, pernah mewakili negeri Terengganu dalam pertandingan tilawah peringkat kebangsaan sewaktu sekolah rendahnya, dan merupakan salah seorang ahli nasyid sekolah, Shoutul SHAMS. paling diingati beliau menyanyikan lagu "Ahlan Bina". tersangat merdu.

beliau juga sosok yang sangat aktif dalam sukan terutamanya badminton dan silat. pernah mewakili kampus beliau dalam pertandingan silat pada kejohanan sukan antara universiti. aktifnya dalam sukan tidak dapat menafikan lagi dengan pernah merangkul pelbagai medal sewaktu kejohanan olahraga sewaktu di sekolah dulu.

di dalam kelas, beliau seorang yang sangat menjaga adab, tidak pernah lagi saya melihat ada guru-guru yang memarahi beliau, seorang yang sangat cepat belajar, kami sering bersaing dalam pelajaran terutama dalam subjek kegemaran beliau, iaitu bahasa arab tinggi, walaupun dikurniakan dengan pelbagai kelebihan, beliau lebih selesa dengan perwatakan merendah diri. saya teringat kata-kata cikgu Aminah "Allah lah syafaat, sedapnya suara, menangis cikgu dengar kamu baca Quran, bakpe yang malu sangat nak keluar suara selama ni?" selepas beliau mengalungkan bacaan Al-Quran dalam satu majlis rasmi sekolah.

Dikurniakan juga dengan kebolehan berkaligrafi jawi, khat. saya pernah meminta beliau untuk tuliskan satu khat di atas satu papan tanda semasa satu program amal "Seriyal Untuk Syria"Geng Sukarelawan Terengganu (GST), walaupun masa tu beliau sibuk dengan pelbagai urusan di kampus kerana beliau merupakan YPD Persatuan Pelajar Bahasa Arab, Bahtera, tapi Allahyarham masih sempat mencuri waktu untuk berprogram bersama kami. pemalu, sifat yang sangat dominan pada beliau, jarang-jarang saya melihat beliau bercakap dengan perempuan, beliau sangat menjaga pergaulan antara jantina. di dalam kelas, selalu kami menyakat Allahyarham dengan ....... merah padam muka Allahyarham sehinggalah selesai sesi pembelajaran.

kepimpinan beliau tidak banyak bermain dengan mulut, memegang taklif sebagai kapten asrama sesi 2009/2010, saya kira terlalu banyak sumbangan di bawah kepimpinan beliau untuk menjaga bi'ah solehah sekolah. saya tidak pernah melihat arwah marah pada anak-anak jagaannya melainkan hanya sekali, kepimpinan beliau banyak melalui teladan, qudwah hasanah, sangat disegani dalam pelbagai aspek, beliau seorang yang sangat murah dengan senyuman, kontra sekali dengan saya, memandang raut wajah beliau sendiri mendatangkan satu ketenangan, semasa saya memegang Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dulu pun, beliau banyak mencadangkan kepada saya pelbagai idea bernas, dan saya sangat senang berkerja sebagai satu pasukan bersama beliau.

alangkah terkejutnya semalam membuka laman sosial facebook, mendapat makluman, beliau terlibat dengan kemalangan jalan raya yang agak kritikal, saya semasa itu sedang berprogram di Ulu Langat terus bergegas ke bilik mengangkat takbir bersolat hajat dua rakaat memohon keselamatan dan kesihatan untuk beliau, selepas tamat sahaja program, saya memeriksa handphone terdapat 12 miss call, dengan tangan yang berat saya menghubungi Ummi Hanita, semasa itu saya tidak mengharapkan yang lain melainkan ingin mendengar "Alhamdulillah Syafaat selamat" tapi yang didengar "banyakkan bersabar, Syafaat dah tak de pukul 2.30 tadi". terus rebah saya waktu itu, seakan tidak percaya, lagi bertambah sebak bila guru bahasa arab kami, Ustazah Che Hamidah turut mengirimkan pesanan memaklumkan pemergian beliau, bercucuran air mata mengalir, kali terakhir pertemuan kami semasa program GST dulu. susah untuk menerima hakikat, sosok yang hebat ini, telah dijemput tuhan.

sejujurnya masih banyak lagi cerita kehebatan beliau hendak saya nukilkan, cukuplah ini saya surahkan beliau sebagai sosok yang sangat bernilai untuk agama untuk sama-sama kita teladani dan contohi, semoga Allah menerima segala amalan baik beliau. semua orang menangisi pemergianmu, Al-Mujahid Permata Islam.

Al-Fatihah Allahyarham Mohd Syafaat bin Salim"
..................................................................................................................................................................

Aku petik lagi kata-kata dari sahabat yang jauh di Bumi Nil. Akh Naqiuddin.

"Akhir-akhir ini ada beberapa kali terdetik untuk bertanya khabar, kerana biasanya, Allahyarham akan pesan jubah dan beberapa barang dari Mesir apabila saya mahu balik ke Malaysia. Apatah lagi, sudah lama tidak bergurau dan berbual panjang dengan beliau. Namun, takdir mendahului segalanya, Allahyarham pulang menghadap Ilahi tanpa sempat saya bertanya khabar. Sedih..

Syafaat Salim yang saya kenal, berakhlak mulia, rajin menghafal dan membaca Al-Quran, selalu melakukan solat malam, tidak pernah terlepas untuk solat berjemaah, mempunyai suara yang lunak (selalu dijemput untuk menjadi imam), sopan-santun, lemah-lembut, suka membantu orang lain, tegas dan berdisplin apabila melakukan kerja, bijak dan cerdas dalam pelajaran. Beliau juga seorang yang lebih banyak diam daripada berkata-kata, tetapi apabila dia berkata-kata, kalamnya penuh makna. Susuk anak muda seakan tidak pernah lelah dan jemu menggerakkan kerja-kerja dakwah.

Ternyata, Allah s.w.t lebih sayangkan beliau. Berehatlah dengan tenang, Syafaat Salim. :’(

Al-Fatihah."
...................................................................................................................................................................

Ini pula dari fb akh Firdaus Yusoff.

"Hari ini kita masih mampu berceloteh, bergelak ketawa, bergurau senda bersama sahabat-sahabat. Tapi esok belum tentu kita mampu berbuat sedemikian. Sehebat manapun perancangan manusia, Allah mengatur hambanya dengan aturan lebih baik. Sahabat baik dunia akhirat, Mohd Syafaat Bin Salim, Allah panggil balik menghadapNya. Berita yang merenggut jiwa dan perasaan ini aku telan walaupun pahit. Belum pernah merasai kehilangan sahabat. Sungguh, rasa itu perit. Moga Allah bagi kami kekuatan untuk teruskan kehidupan.

Setiap kali cuti, dia orang yang paling aku nak jumpa. Perjalanan hidupnya Allah taqdirkan singkat tapi aku yakin penuh keberkatan. Teman yang aku anggap sebagai 'kembar tak seiras lain ibu dan ayah'. 'Kembar' kerana persamaan dan minat kami dari banyak sudut. Qudwah hasanahnya pasti diingati rakan seperjuangan.

Mohon dipanjangkan doa buat arwah agar mudah urusannya di alam sana.

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه.

Paat, mung tunggu aku kat syurge deh. Dakpelah Allah panggil mu awal sikit dari aku. Amal aku banyok lagi kurang dok macam mung orang kuat juang. Kekgi sapa masa giliran aku pulok. Allah janji doh tu. Harapnye kite masuklah dalam golongan hok Allah janji dapat perlindungan bawah ArasyNya sebab kita jupe ngan pisoh pun harapnya kerana Allah.

Al-Fatihah."
...................................................................................................................................................................

Aku kira testimoni ini sangat kukuh dan pejal. Tidak aku mampu untuk bercoret lagi. Tidak selayaknya. Kerana aku bukanlah sosok yang terlalu mengenali beliau. Hanya mengenali beliau sebagai seorang pemimpin agama yang sangat aku dan para sahabat sanjungi.

Semoga engkau tenang di sana akh. Bergembiralah engkau di sisi Rabb. Bergembiralah engkau bertemu dengan Kekasih abadi. Rehatlah engkau di sana. Engkau telah bekerja di sini. Rehatlah selamanya di sana. Di samping Tuhanmu. Wahai pemilik suara merdu. :'( :'( :'(

No comments:

Post a Comment