Friday 8 August 2014

SEERAH UMMU SULAIM


Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Rasulullah SAW bersabda:
Aku diperlihatkan dalam syurga, aku melihat isteri Abu Talhah. Kemudian aku mendengar hentakan orang berjalan, ternyata beliau adalah Bilal.

(HR Muslim: 4495)

Sudah dua kali saya mendengar seerahnya Ummu Sulaim. Satu daripada Habib Muhammad Abdul Rahman As-Saqqaf di kaca televisyen dan satu lagi diceritakan oleh Ustazah Nor Hafizah Musa dan Ustazah Ainun Mardhiah juga di kaca televisyen.

Peribadi seorang muslimah sejati yang dapat saya simpulkan. Seorang ibu yang sarat dengan kasih sayang. Seorang isteri yang melebihkan keperluan suami walaupun di saat-saat getir. Seorang pejuang sejati walaupun bukan seorang lelaki. Beliau juga ialah seorang muslimah yang bijak dan pintar. Seorang suri yang pandai menguruskan dapur. Maksud menguruskan dapur di sini bukan sahaja menyediakan keperluan perut untuk sang suami dan anak-anak, malahan peribadi Ummu Sulaim ini adalah beliau juga sentiasa memberi makan kepada jiran-jiran dan Rasulullah SAW.

Wah, hebat bukan?

Oh belum ceritanya lagi. Sudah menakjubkan bukan?

Sebelum kita menelusuri seerahnya bonda Ummu Sulaim, di sini saya kepilkan sekali biodata bonda Ummu Sulaim buat anda dan saya khususnya supaya lebih mengenali dan menghidupkan kembali peribadi Ummu Sulaim dalam diri kita masing-masing. 

Senyum.

Sekilas Tentang Bonda Ummu Sulaim:
1.Nama sebenarnya ialah Ghumaisa’ Bintu Milhan
2.Ibu kepada Anas Bin Malik (ra)

3.Berumur 40 tahun ketika Islam mula menyinari bumi
4.Memeluk Islam ketika dakwah Mus’ab Bin Umair di Madinah
5.Berkahwin dengan Abu Talhah selepas kematian suaminya yang pertama


(credits to http://ustaznaim.blogspot.com/)


Anda pasti tertanya-tanya apakah yang membuatkan bonda Ummu Sulaim ini istimewa dalam seerah Muslim. Apakah yang bonda Ummu Sulaim telah lakukan atau korbankan sehingga dapat kedudukan tinggi dalam seerah Islam dan menempah nama di hati sahabat-sahabat ketika dahulu?

Mahar. Ya, maharnya yang membuatkan bonda Ummu Sulaim tersangat mulia. Mahar untuk memperisterikannya. Pada asalnya, Ummu Sulaim bukanlah isteri kepada Abu Talhah. Suaminya sebelum Abu Talhah ialah Malik bin Nadhr. Setelah Ummu Sulaim diketuk pintu hatinya oleh sinaran hidayah, beliau memeluk Islam. Setelah keislamannya, suaminya Malik bin Nadhr memujuknya kembali untuk kembali kepada agama asalnya. Tetapi bonda Ummu Sulaim menolak. Akhirnya, Malik bin Nadhr meninggal dunia dalam keadaan kesyirikan.

Seterusnya, Abu Talhah datang ingin meminang Ummu Sulaim dengan membawa emas dan perak sebagai mahar. Ketika itu juga, Abu Talhah belum lagi memeluk Islam. Lantas, bonda Ummu Sulaim berkata, 

"Aku tidak berhajat kepada dua perkara ini, akan tetapi maharku ialah Islam. Jika kamu bersetuju, maka aku tidak berhajat kepada perkara lain."

Maka, Abu Talhah pun pergi dan kembali lagi dalam keadaan dia seorang yang beriman. Seorang Muslim. Beliau pun mengahwini bonda Ummu Sulaim. Seorang wanita Ansar ada berkata,

"Tidak pernah kami mendengar hingga kini seorang yang lebih mulia maharnya selain Ummu Sulaim di mana maharnya ialah Islam."

Sungguh epik, bukan? Pertama kali saya mendengar dan membaca kisah ini, saya semacam WOW sebab terlalu kagum dengan peribadi bonda Ummu Sulaim. Apa yang lebih bernilai daripada Islam? Rasanya menjadikan Islam sebagai mahar itu lebih kaya daripada memenangi sejuta ringgit. Menjadikan Islam sebagai mahar itu membuktikan bahawa seseorang itu mempunyai taqwa dalam diri. Taqwa, mahal harganya. Bukan dapat dijual beli. Tiada di pasar. Ianya hasil tarbiyyah. Ya, hasil tarbiyyah. Payah. Sesuatu yang berharga, mana mungkin untuk mendapatkannya mudah. 


Seerah juga ada mencatatkan bahawa, pernah satu ketika ketika Abu Talhah berpergian saat anaknya bersama Ummu Sulaim, Abu Umair sedang sakit. Jadi Abu Talhah bermusafir meninggalkan anak dan anak tirinyanya, Anas bin Malik bersama Ummu Sulaim. Ketika Abu Talhah bermusafir, anaknya Abu Umair telah meninggal dunia. Pengebumian jenazah dan urusan mengkafankan Abu Umair segalanya diuruskan oleh Ummu Sulaim. Jiran-jiran Ummu Sulaim yang datang menziarah sangat sedih melihat keadaan Ummu Sulaim. Mereka menangis tetapi dengan tenang, Ummu Sulaim berkata,

"Jika kalian ingin menangis, aku mohon kalian menangislah di rumah kalian, bukan di rumahku kerana aku tidak mahu rumah ini kelihatan suram dan dalam keadaan bersedih. Serta aku pohon janganlah diberitahukan tentang hal kematian ini kepada suamiku. Biarlah aku sahaja yang mengkhabarkannya."

Diceritakan ketika Abu Talhah kembali dari permusafiran, Ummu Sulaim sehabis daya menghias dirinya cantik-cantik, malah lebih cantik daripada hari-hari sebelumnya demi melayan suaminya. Betapa inginnya Ummu Sulaim melayan Abu Talhah dalam keadaan yang elok dan ceria. Ummu Sulaim juga menyediakan makanan yang enak-enak buat Abu Talhah. Lalu Abu Talhah bertanyakan tentang hal Abu Umair yang ditinggalnya dalam keadaan sakit.

Dengan tenang, Ummu Sulaim menjawab, "Dia dalam keadaan yang tenang."

Ummu Sulaim terus melayan suaminya sebagaimana seorang isteri patut melayan suami. Sehinggalah pada malamnya, Ummu Sulaim berdialog dengan Abu Talhah. Seakan membuat analogi, Ummu Sulaim dengan bijaknya bertanya kepada Abu Talhah.

"Wahai suamiku, sekiranya ada seseorang yang dipinjamkan sesuatu barang kepadanya, dan empunya barang itu meminta ia dikembalikan semula, maka tidak patutkah ia dikembalikan?'

"Sudah tentu. Barang itu perlu dikembalikan."

"Maka ketahuilah olehmu, bahawa anak kita telah pun diambil kembali olehNya." Jawab bonda Ummu Sulaim. Masih tenang.

Abu Talhah pilu mendengar khabar yang tidak disangka itu. Lalu beliau pun menemui Rasulullah SAW menceritakan tentang tindakan Ummu Sulaim terhadapnya. Rasulullah SAW memuji tindakan Ummu Sulaim yang begitu bijak mengurus keadaan. Kata baginda Rasulullah SAW,

"Sesungguhnya Allah telah memberkati kamu berdua malam tadi."

Seperti yang kita tahu, apa yang diucapkan Rasulullah SAW adalah benar belaka. Setelah itu, Ummu Sulaim dan Abu Talhah dikurniakn sembilan (ada yang mengatakan sepuluh) orang anak. Kesemua anak mereka membesar menjadi haafiz di Masjid Nabi.

Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan? SubhanAllah. Ini adalah rahmat dan kasih sayang dari Allah buat hambaNya yang soleh dan solehah. Mukmin dan mukminah. 

Sebenarnya banyak lagi kisah seerah bonda Ummu Sulaim yang terpotrait di kitab sejarawan Muslim. Banyak. Cuma setakat ini sahajalah dahulu. InsyaAllah, entri seterusnya saya akan ceritakan. 

Pray for Ghazzah. :)

No comments:

Post a Comment